Friday, January 28, 2011

Nasib Melayu Singapura

Melayu Singapura kecewa dengan Kuan Yew — Razak Rashid Ghows

January 29, 2011
29 JAN — Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bahawa orang Melayu tidak harus terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam bagi membolehkan pelan integrasi masyarakat dilaksanakan dengan sempurna, dalam bukunya Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going, dikecam hebat oleh pelbagai pihak di Singapura dan negara serantau termasuk Malaysia.
Antaranya, termasuk Persatuan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) yang mahu pihak berkuasa di republik berkenaan mengambil tindakan undang-undang kerana kandungan buku itu yang menghasut.
PKMS dalam satu kenyataan yang di e-mel kelmarin, berkata mereka sudah menghantar surat kepada Presiden Singapura, S R Nathan untuk menyatakan kekecewaan dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Kuan Yew.
Surat itu ditanda tangani oleh Presiden PKMS, Ali Asjadi dan Setiausaha Agungnya, Mohamed Nazem Suki.
“Kami berpegang pada Perlembagaan Singapura dalam perjuangan sejak kemerdekaan. Andainya kami tidak menggunakan penyelesaian diplomatik bagi mengatasi perbezaan pendapat di negara ini, Singapura sudah tentunya tidak akan menjadi seperti keadaannya sekarang.
“Keadaan kepelbagaian di Singapura adalah unik, yang bukannya dicapai dengan secara kebetulan, kerana setiap bangsa dan agama bersetuju dengan prinsip pembangunan negara,” kata Nazem.
PKMS berpendapat kenyataan Kuan Yew menyimpang daripada keadaan sebenar dan menghasut perpecahan kaum dan agama. “Selama ini Kuan Yew mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi nampaknya beliau sendiri melanggar akta itu dengan secara terbuka dan tidak dihormati”.
Pertubuhan berkenaan juga mempersoalkan pihak berkuasa Singapura kerana membenarkan penerbitan buku itu yang mengandungi elemen tertentu yang ternyata bercanggah dengan undang-undang. PKMS, tegas Nazem, ingin meminta penjelasan daripada pihak perundangan Singapura mengenainya.
“Kami turut terbabit dalam pembangunan negara dan berintegrasi dengan masyarakat dan mencapainya. Tetapi kini kami mempersoalkan kenapa Kuan Yew mempertikaikan sebuah agama saja? Apakah niatnya untuk merendahkan mana-mana kaum atau agama?
Mohamed Nazem berkata, negara berkenaan mempunyai sebuah Pertubuhan Antara Agama Singapura (IRO) bagi menggalakkan perpaduan.
“Di manakah sokongan Kuan Yew terhadap IRO dan semua pertubuhan sosial masyarakat yang menggalakkan harmoni, keamanan dan pemahaman?” tanyanya.
Pergerakan Pemuda PKMS pula mendesak Kuan Yew supaya memohon maaf kepada masyarakat Islam Singapura dan dunia. “Kami juga menuntut agar buku ‘Hard Truth’ itu diharamkan,” kata Ketuanya, Azhar Ali.
Pergerakan Pemuda PKMS turut menghantar surat kepada Pengerusi dan Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi meminta mereka menasihati Presiden dan Perdana Menteri Singapura supaya melarang penerbitan buku berkenaan.
Di Malaysia, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mempersoalkan ‘apakah Kuan Yew mahukan orang Melayu meninggalkan sebahagian daripada ajaran Islam untuk diterima sepenuhnya oleh masyarakat Singapura?’
Masyarakat Melayu Islam di Singapura bukannya melaksanakan hukum perundangan Islam seperti hudud, qisas dan takzir, tidak juga mereka cuba mendaulatkan sebuah negara Islam.
“Perlembagaan mereka sekular seperti masyarakat lain. Mereka duduk di rumah pangsa macam orang lain. Anak mereka ke sekolah sekular macam orang lain. Mereka tidak pegang jawatan tinggi dalam mana-mana agensi kritikal, jadi apa maksud Kuan Yew masyarakat Melayu Singapura perlu meninggalkan sebahagian ajaran Islam untuk berintegrasi dengan masyarakat lain di Singapura", tanya Zulkifli dalam blognya.
Kuan Yew nampaknya seolah-olah tidak peduli sama ada kenyataannya boleh membuat orang Melayu terasa kecil hati ataupun marah. Ikut suka hatinya saja hendak menyatakan sesuatu.
Dalam menyuarakan pandangan mengenai orang Melayu mahupun negara lain terutama Malaysia, Kuan Yew memang tidak mempunyai finesse atau berhemah tinggi.
Sikapnya lebih menjurus kepada Islamofobia, kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak.
“Walaupun Kuan Yew duduk di rantau yang dikelilingi negara Islam, dia masih dibelenggu dengan Islamofobia, seperti orang Amerika yang tidak tahu apa-apa pasal Islam.
Katanya, Tun Dr Mahathir Mohamed sendiri pun memperjuangkan sikap kesederhanaan ini tetapi bukan dalam erti kata mengurangkan amalan agama Islam.
Dewan Pemuda Masjid Malaysia berkata Kuan Yew menunjukkan belangnya yang sebenar apabila menimbulkan pandangan berbaur diskriminasi dan prejudis terhadap agama Islam serta hubungan dengan negara jiran, khususnya Malaysia dan Indonesia.
Ketua Umumnya, Dr Muhammad Nawar Ariffin berkata Pemuda Masjid kesal dengan sikap Kuan Yew merendahkan kesucian agama Islam dengan menganggapnya sebagai penghalang proses integrasi dan pembangunan negara.
Dengan terluahnya pandangan berkenaan, justeru adalah wajar Kuan Yew henti mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain, agar beliau tidak akan terus dianggap sebagai seorang pemimpin “yang sudah melalut” kerana faktor usia yang lanjut. — Berita Harian
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No comments:

Post a Comment